السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
KUALA LUMPUR, 3 Jan: Gerakan Menuntut
Kebebasan Akademik (Bebas) hari ini membuat laporan polis berhubung
dakwaan keganasan pihak polis ketika menyuraikan himpunan kebebasan akademik di
hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu.
Laporan itu dibuat
oleh Jurucakap Bebas, Haziq Abdullah Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Dang
Wangi, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
“Kami menyaksikan Safwan Anang mengadu kesakitan akibat ditumbuk dan dipukul sehingga cedera, ” kata Haziq dalam memetik laporan tersebut.
Bercakap pada sidang media selepas laporan dibuat, Haziq berkata, Bebas menggesa soal siasat dan tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden itu.
“Kami mendesak tindakan diambil terhadap anggota polis berkenaan kerana kalau dibiarkan, kejadian sebegini akan terus berulang, ” kata beliau yang ditemani peguam, Fadiah Nadwa Fitri.
Sementara itu, Fadiah berkata, tindakan polis itu jelas berunsur jenayah kerana mahasiswa yang berhimpun tidak membawa sebarang senjata yang membahayakan.
“Dari segi undang-undang, tindakan polis ini berunsur jenayah kerana mahasiswa dikasari, diterajang, ditumbuk sehingga cedera, ” katanya.
Safwan yang terpaksa dirawat di hospital beberapa hari turut hadir memberikan sokongan bersama isterinya, Masturah Abu Bakar dan kira-kira 20 wakil daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
TUNTUT POLIS MOHON MAAF
Sementara itu, Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) pada sidang media berlainan selepas itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak bertanggungjawab terhadap insiden yang disifatkan sebagai pencemaran imej polis.
Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, Gamis sekali lagi mendesak pihak polis membuat permohon maaf terbuka memandangkan tempoh 24 jam yang diberikan kepada mereka untuk berbuat demikiian telah berlalu.
“Sebelum ini Gamis menuntut pihak polis membuat permohonan maaf segera tapi sampai sekarang belum dibuat. ”
“Jadi sekali lagi kami tuntut mereka mohon maaf dan kami pandang serius perkara ini kerana melibatkan timbalan presiden Gamis sendiri, Safwan Anang, ” katanya.
Pengerusi SMM, Ahmad Shukri Razab pula mengecam tindakan polis membuat penafian awal sedangkan siasatan belum pun dilakukan.
“Polis awal-awal lagi nafi tiada kekasaran walaupun belum buat soal siasat lagi. ”
“Kami juga kesal polis mengambil keterangan Safwan secara terburu-buru walaupun beliau masih belum pulih dan dipaksa mengaku cedera kerana terjatuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment