السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
WARGA PDRM PERLU JAGA TINGKAH LAKU, DISIPLIN: SULTAN JOHOR
KUALA LUMPUR : Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan
warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga tingkah laku dan disiplin
supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.
Baginda bertitah ini kerana warga PDRM sentiasa menjadi perhatian
masyarakat yang kebelakangan ini hanya melihat perkara buruk mengenai pasukan
itu.
“Dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan ketenteraman
awam anda akan berdepan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai karenah.
Tanamlah sifat sabar dan sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku serta
menjunjung nilai integriti yang tinggi dalam diri masing-masing.”
“Jangan
harapkan pujian yang manis atas kejayaan yang dicapai tapi bersedialah untuk
menerima cacian atau satu kegagalan kecil kerana masyarakat sekarang hanya
nampak yang buruk daripada yang baik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian, Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.
Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerak Khas (GGK) Tentera Darat bertitah warga PDRM juga perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang kini adalah bentuk persekitaran kerja dan kehidupan generasi masa kini.
“Diharap, dengan arus teknologi terkini, warga PDRM dapat menggunakan perkongsian dan penyebaran maklumat ini secara cepat dan berkesan serta dapat berhubung secara langsung dengan masyarakat awam. Perkongsian ini mampu memberi impak postif dalam pelaksanan tugas pasukan,” titah baginda.
Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata cabaran utama yang perlu dihadapi pasukan masa kini ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.
“Ini kerana masih terdapat rungutan orang ramai mengenai kejadian jenayah yang masih kerap berlaku dan persepsi 'fear of crime' belum diatasi sepenuhnya. “
“Sebagai pegawai yang berhemah, anda perlu semaikan perasaan timbang rasa dan memahami masalah masyarakat serta tangani masalah dan isu secara profesional dengan fikiran yang matang,” katanya.
Beliau berkata, setiap pegawai polis perlu sentiasa mendekati masyarakat dan merapatkan hubungan bagi menjalinkan kerjasama dalam memerangi jenayah.
Pada majlis ini, seramai 960 pelatih iaitu 570 lelaki dan 390 wanita menamatkan latihan selama sembilan bulan.
Anakanda Sultan Johor, Tuanku Abdul Jalil Sultan Ibrahim adalah antara pelatih yang tamat latihan hari ini menjadi pemimpin perbarisan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment