Pages

Wednesday, January 11, 2012

ZAKAT: JAMIL KHIR MESTI LETAK JAWATAN


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ




ZAKAT: JAMIL KHIR MESTI LETAK JAWATAN

MUFTI JAGA AGAMA.. BUKAN JAGA MENTERI

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa.

“Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan(gambar).

Menurutnya, perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.”

“Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau turut merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara, antaranya:
a) 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.

b) Datuk Che Mat Che Ali, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010.  Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c) MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.

“Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah,” ujarnya.

Menururtnya, mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya .

Baginya, berlaku penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah Jawi untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua-dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

Katanya, kelihatan Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu itu apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang sedangkan isu itu adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

“Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam,” katanya lagi.

Justeru, tegasnya Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari akal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

“Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan  jaga menteri,” katanya.

No comments:

Post a Comment