السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
PANEL KHAS SPRM BINCANG KES TAIB MAHMUD
KUALA LUMPUR, 14 Dis: Panel Khas
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan mesyuarat khas
tidak lama lagi, bagi membincangkan desakan dari 13 NGO supaya Ketua Menteri
Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas
pelbagai dakwaan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat tersebut dijangka akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja Pengerusi AJK Panel itu, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dimaklumkan mengenainya.
Menurutnya, permintaan agar diadakan mesyuarat tersebut akan dibuat oleh beliau sendiri kepada Radzi atas kapasitinya selaku salah seorang AJK Panel tersebut.
Katanya, tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk membincangkan tindakan sewajarnya yang patut diambil oleh panel tersebut berhubung laporan berkenaan.
“Saya akan maklumkan perkara ini kepada Datuk Radzi nanti untuk meminta beliau memanggil mesyuarat khas AJK Panel Khas SPRM, bagi meminta SPRM menerangkan kepada kami mengenai laporan itu,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.
Antara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.
Mereka telah mengemukakan surat bertarikh semalam kepada Kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.
Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.
“Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi,” kata NGO itu dalam surat mereka.
Tan Sri Taib, yang dilihat di sisi isteri dari Lubnan, Ragad Waleed Alkurdi.
Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud dan Raziah Mahmud.
Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.
Menurut Salahuddin, kes tersebut merupakan sesuatu yang amat serius dan pihaknya amat perlu mendapatkan keterangan lanjut dari SPRM dengan segera sama ada benar telah menerima laporan tersebut atau sebaliknya.
“Sekiranya SPRM memang telah menerima laporan itu, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh SPRM bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak-pihak terbabit,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
No comments:
Post a Comment