KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak agar
segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan keganasan terbaru di
Mesir.
Ketua Whip Parlimen PAS
Datuk Mahfuz Omar, berkata pada persidangan khas itu, kerajaan juga digesa
membawa usul bagi membantah tindakan pemerintah sementara Mesir di bawah kuasa
tentera yang telah membantai rakyat sendiri awal pagi ini.
“Datuk (Seri) Najib selaku
ketua parlimen perlu bertindak segera. Kepimpinan Malaysia perlu dilihat berani
menyatakan pendirian. Biar kita dapat keputusan atas nama parlimen.
“Saya yakin, kita di
Pakatan Rakyat akan bersetuju dengan usul yang dibawa bagi membantah tindakan
tersebut.
“Parlimen pernah
menyaksikan sejarah kita (Pakatan Rakyat) dan kerajaan bersama dalam beberapa
isu termasuk isu Palestin sebelum ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Dalam operasi bermula awal pagi tadi waktu
tempatan, pihak tentera Mesir menggempur Medan Raba’ah yang menjadi pusat
perkampungan himpunan penyokong legitimati dan penyokong Presiden Dr Muhammad
Morsi.
Serangan yang didakwa menggunakan kereta perisai,
jentolak, penembak tepat, gas pemedih mata dan peluru hidup itu memakan korban
ratusan orang dan ribuan lagi cedera di medan itu.
Beberapa agensi berita termasuk RNN turut
melaporkan bahawa pasukan penembak tepat juga mengambil tempat dari atas
helikopter dan tentera turut menggunakan gas beracun.
Sehingga kini, angka rasmi kematian tidak dapat
disahkan, namun beberapa sumber memaklumkan ianya mungkin mencecah 500 orang
setakat ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli Parlimen
Pokok Sena berkata, melalui sidang khas itu nanti, Pakatan Rakyat akan
mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung langkah yang wajar diambil
selaku negara anggota PBB dan OIC.
“Kita juga desak
kerajaan Malaysia memanggil duta Mesir untuk memberi nota bantahan dan amaran
berhubung tindakan kejam kerajaan sementara tersebut,” katanya. – HD –
No comments:
Post a Comment