السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Naib
presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, perdana menteri cuba menakut-nakutkan
orang Melayu dan Islam apabila menyatakan bahawa pilihan raya umum akan datang
merupakan penentu kepada kelangsungan golongan itu.
Beliau juga percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno berkata demikian kerana "takut" dengan akan kehilangan kuasa untuk membentuk kerajaan.
Dengan mengaitkan slogan 1Malaysia BN, Mahfuz turut memperolok-olokkan usaha itu sebagai "Skim Takut 1Malaysia".
“Mereka takut kehilangan kuasa pada pilihan raya umum akan datang. Masih ada harapan lagi orang Melayu untuk berubah pendirian supaya tidak bersama Umno dan BN.”
“Saya boleh katakan, mereka ini sedang jalankan Skim Takut 1Malaysia (ST1M) yang menunjukkan pemimpin Umno ada ketakutan dengan ambil pendekatan menakutkan orang Melayu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
Dalam ucapannya ketika menutup persidangan perwakilan Umno bahagian
Pekan pada Sabtu lalu, Najib dilaporkan berkata hanya parti Umno dalam BN yang
dapat “meneruskan perjuangan bangsa dan agama.”
Laporan Bernama itu menyebut, Najib berkata orang
Melayu tidak mempunyai tempat bergantung harap sekiranya Pakatan Rakyat
membentuk kerajaan kerana gabungan parti itu tiada parti Melayu yang menjadi
teras pemerintahan seperti Umno dan BN.
Tanam kebencian
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kenyataan Najib itu menunjukkan bahawa pemerintahan negara akan jatuh ke tangan bukan Islam sekiranya Umno tewas dalam pilihan raya nanti.
“Kenyataan ini bersifat secara halus dan tanam sifat kebencian orang
Melayu kepada bukan Melayu. Seolah-olah kalau Umno kalah, orang bukan Islam
ambil alih pemerintahan.
“Mereka tanam pada diri orang Melayu dengan kebencian,” katanya lagi.
Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai satu kenyataan yang ‘sempit’, Mahfuz berkata, PRU-13 sebenarnya yang akan menjadi penentu survival politik Umno.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena ini menegaskan agar pilihan raya akan datang dapat menjadi peluang bagi bangsa Melayu merdeka daripada Umno.
“Kita telah merdeka selama 55 tahun. Tetapi apa yang perdana menteri kata menunjukkan sifat yang masih lagi belum merdeka. Jadi (pilihan raya umum ke-13) akan menjadi peluang bagi bangsa Melayu merdeka daripada Umno,” katanya lagi. – MK –
No comments:
Post a Comment