Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menjelaskan RM400 juta yang dinyatakan pada persidangan Dewan Rakyat
adalah jumlah siling yang diluluskan Kementerian Kewangan dan bukan jumlah
sebenar perbelanjaan mengendalikan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.
Timbalan Pengerusi SPR
Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata jumlah sebenar perbelanjaan PRU-13 hanya akan
dapat diketahui apabila akaun perbelanjaan PRU13 ditutup memandangkan bayaran
masih dilakukan pejabat-pejabat SPR negeri.
“Dalam soal bajet, kita
telus kerana perbendaharaan akan pastikan setiap kos pada PRU disertai dengan
butiran2 dan akhirnya akan diperiksa dan diaudit.
“Berdasarkan pengalaman
kita, selalunya tidak melebihi jumlah besar atau jumlah siling yang diluluskan.
Dasar SPR adalah ketika meminta peruntukan, kita tidak mahu apabila sampai
setengah jalan, bajet tak cukup. Jadi kita akan membuat permintaan untuk jumlah
atau anggaran besar itu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di Putrajaya.
Anggota Parlimen pembangkang mempersoal jumlah perbelanjaan SPR yang meningkat
sekali ganda dalam tempoh lima tahun berbanding hanya RM200 juta pada PRU12.
Anggota Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook menyifatkan sebagai tidak wajar
pertambahan perbelanjaan seratus peratus walaupun bilangan pengundi yang
terlibat hanya bertambah 20 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan
bertulis kepada Loke pada Isnin lepas menyatakan kos perbelanjaan mengendalikan
PRU13 adalah RM400 juta, dengan pecahan kos adalah elaun lebih masa RM5.018
juta, sewaan pengangkutan, borang semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan
talian, telefon dan faks dan lain2 RM98.465 juta, bayaran
perkhidmatan dan saguhati semua petugas PRU RM204.1 juta serta perbelanjaan
lain RM93.354 juta.
Wan Ahmad menjelaskan
pertambahan siling peruntukan itu dibuat berdasarkan anggaran yang dikemukakan
pejabat SPR setiap negeri sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan
Perbendaharaan.
“Setiap kali bila ada PRU,
memang peruntukan meningkat sejajar dengan keadaan semasa. Biasanya
Perbendaharaan lulus secara jumlah besar dan pengagihan bajet diberi
berperingkat2, termasuk sebelum PRU,” katanya.
Sebagai contoh, setahun
sebelum PRU13, SPR membuat pelbagai persiapan seperti mengadakan latihan kepada
petugas2 di setiap negeri yang perlu dilakukan beberapa kali. Semua
ini melibatkan kos dan merupakan sebahagian daripada peruntukan yang diluluskan
itu, katanya.
Katanya keseluruhan
petugas SPR pada PRU13 kira-kira 235,000, termasuk pegawai pengurus, penolong
pegawai pengurus, pegawai dan anggota penguatkuasa, petugas di tempat mengundi
dan pemandu arah.
Wan Ahmad juga menafikan
para petugas diberikan bonus.
“Tidak ada bonus, cuma
elaun sahaja. Laporan kata petugas SPR dapat bonus adalah tidak tepat sama
sekali. Untuk elaun, itu memang meningkat sebab kita mengambil kira kos inflasi
dan sebagainya.”
Beliau menjelaskan caj
perkhidmatan dan saguhati untuk petugas SPR adalah besar memandangkan ia
melibatkan pembekalan topi, baju-T SPR, vest SPR, payung serta cenderahati lain
seperti pen, cakera padat (CD) dan buku panduan.
“Bayangkan semua ini untuk
235,000 petugas. Jangan lupa cenderahati turut diberi kepada mereka yang
menghadiri taklimat pilihan raya, termasuk wakil2 parti politik dan
petugas mereka,” katanya.
Beliau juga berkata SPR
perlu menanggung kos petisyen pilihan raya selain menjelaskan perbelanjaan di
sesetengah kawasan Parlimen memang lebih tinggi berbanding yang lain berikutan
kedudukan geografi.
“Di Sabah dan Sarawak
sahaja, untuk PRU-13, SPR menyewa lebih 60 helikopter dan lebih 1,000 bot laju,”
katanya.
Walaupun Anggota Parlimen
pembangkang mempertikai kewajaran pertambahan perbelanjaan SPR, rakan mereka
daripada BN berpendapat pertambahan peruntukan itu sebagai sesuatu yang perlu
dilakukan.
“Kalau tak cukup petugas,
parti pembangkang juga yang kritik tak cukup. Kalau lebih, mereka kata
membazir. Bagi saya, yang penting setiap peruntukan itu dibelanjakan dengan
berhemah dan tidak ada penyalahgunaan,” kata Anggota Parlimen Simpang Renggam
Liang Teck Ming.
Lagipun, tempoh pilihan
raya umum ke-13 lebih panjang berbanding sebelumnya dan turut menyumbang kepada
pertambahan perbelanjaan.
“Kali ini, kita ada dua
minggu tempoh berkempen. Ia adalah satu angka berkadar. PR (pakatan pembangkang
yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Rakyat) yang mahukannya (tempoh
berkempen) lebih panjang, sekurang2nya 21 hari,” kata Anggota
Parlimen Labis (BN-MCA) Datuk Chua Tee Yong.
Walaupun jumlah
perbelanjaan pilihan raya kian meningkat, Wan Ahmad berpendapat ia tetap
berbaloi dengan tujuan pilihan raya itu diadakan.
“Kita perlu melihat
daripada sudut kesinambungan proses demokrasi. Tidak ada salah. Sebab itu ada
negara2 maju yang sanggup berbelanja berjuta2 ringgit
membantu negara mundur mengadakan proses demokrasi mereka.
“Bagi negara kita, tak ada
satu sen pun kita minta sumbangan daripada luar sebab kita nak jaga kedaulatan
proses demokrasi di negara ini,” katanya ketika mengakhiri temu bual. – MK –
No comments:
Post a Comment