Social Icons

Pages

Wednesday, July 17, 2013

MENTERI ENGGAN SAHKAN NAMA PEMBEKAL DAKWAT SPR



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim enggan mengesahkan pihak yang disebut oleh MP Pandan Rafizi Ramli semalam merupakan pemilik dan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei.


Shahidan tetap enggan mengesahkan perkara itu, walau diasak berkali2 oleh MP Pakatan Rakyat, termasuk Rafizi ketika menteri berkenaan berucap dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kes berhubung perolehan dakwat kekal itu juga kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kes ini dah rujuk pada SPRM. Biar SPRM yang uruskan. Syarikat yang bekal, saya serah pada SPRM untuk mereka lihat bagaimana mereka boleh cerita pada umum,” kata Shahidan.


Ahli Parlimen Arau itu bagaimanapun berkata, tender untuk membekal dakwat berkenaan tidak lagi akan diberikan kepada syarikat sama memandangkan "nama syarikat pembekal dakwat kekal telah didedahkan". 


Menurutnya, ia bagi menjaga kerahsiaan dakwat tersebut agar tidak diketahui umum. 


“Syarikat ini tidak akan diberi tender lagi. Bila orang dah tahu ini syarikatnya, tak bolehlah. Biar orang lain pula yang ambil alih sebab dakwat ini biar menjadi rahsia kepada SPR.”


Rafizi semalam mendakwa syarikat yang membekal dakwat berkenaan ialah Integrated Challenger (M) Sdn Bhd.

Malaysiakini telah cuba menghubungi syarikat berkenaan dan turut mengunjungi pejabat syarikat tersebut di Shah Alam hari ini untuk mendapatkan reaksi berhubung dakwaan berkenaan namun masih belum berhasil.


Dalam ucapannya hari ini, menteri berkenaan juga menafikan bahawa syarikat yang disebut oleh Rafizi semalam turut membekal topi dan baju-T untuk kegunaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Syarikat yang bekal dakwat ini bukan syarikat sama membekalkan topi dan baju-T seperti yang disebut Pandan. Semalam Pandan kata dikawal oleh syarikat yang sama,” katanya.


Shahidan turut menamakan tiga buah syarikat pembekal topi dan lima buah syarikat yang membekal baju-T tersebut.


Kenyataannya itu bagaimanapun disangkal Rafizi yang mencelah dan mendakwa syarikat pembekal dakwat kekal dan pembekal topi dikawal oleh orang yang sama. 

“Syarikat bekal topi dikawal oleh orang yang sama (bekal dakwat kekal),” kata Rafizi.


Shahidan yang enggan mengalah kemudiannya meminta agar Rafizi membuktikan dakwaan tersebut terlebih dahulu. 


Turut menyertai perbahasan ialah Tian Chua (PKR-Batu) yang meminta Shahidan menerangkan sama ada kontrak membekalkan dakwat tersebut dibuat secara rundingan terus atau tidak. 


Mengulas perkara itu, Shahidan memberi jaminan bahawa perolehan berkenaan dijalankan mengikut prosedur.

“Kalau tak ikut prosedur sudah pasti dia akan ditangkap. Semua tahu pegawai kerajaan paham tentang prosedur. 


“Tidak ada siapa berani sekarang ambil kontrak kerajaan secara runding terus,” katanya lagi. 

No comments:

Post a Comment