Pages

Saturday, November 3, 2012

PROJEK JALAN KOTA TINGGI RM20 JUTA TERBENGKALAI OLEH SYARIKAT KRONI



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

KUALA LUMPUR 2 November: KEADILAN mempersoal bagaimana projek pembinaan jalan di Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi dengan kos RM20 juta diberikan kepada syarikat kroni Umno BN yang akhirnya menyebabkan kerosakan setelah setahun terbengkalai.

Projek sepanjang lapan kilometer itu dibina untuk kemudahan penduduk dari dua kampung, iaitu Kampung Sungai Telor dan Kampung Seri Jaya.

Pembinaan jalan tersebut sepatutnya memberi keselesaan kepada penduduk untuk menuju ke jalan utama, iaitu Kota Tinggi-Kulai.

Malangnya, keadaan jalan yang rosak membuatkan lebih 500 penduduk marah dan tidak selesa kerana mengganggu pergerakan harian mereka.

Penduduk, Haliman Masran, 73, berkata, hampir setiap hari penduduk berhampiran jalan terpaksa menghidu habuk ketika cuaca panas.

“Apabila hujan, jalan bertukar menjadi licin dan berlumpur sehingga menyukarkan anak2 ke sekolah,” jelasnya.
 
Menurutnya, pernah beberapa kali bekalan air dan elektrik terputus akibat pembentung atau kabel pecah dilanggar kenderaan berat ketika melalui jalan berkenaan.

“Pembinaan jalan ini lebih banyak menyusahkan penduduk. Kami tidak tolak pembangunan, tetapi kalau pembangunan menyebabkan rakyat susah, lebih baik hentikan.

“Kami tahu ada wakil rakyat datang tinjau projek ini. Tetapi sudah sampai setahun, tiada perubahan. Kita bimbang ada penyelewengan yang berlaku, kerana projek itu sudah tiada pekerja dan sub kontraktor pun dah lama lari,” kata Haliman.

Mengulas isu berkaitan, Ketua Cabang Kota Tinggi, Abdul Razak Esa berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, kegagalan projek itu ada kaitan dengan pemberian kontrak kepada syarikat kroni Umno BN yang sudah menerima  banyak projek.

Katanya, masalah kewangan daripada kerajaan menjadi punca sub kontraktor lari meninggalkan tapak projek.

Beliau berkata, kegagalan projek itu membuktikan kerajaan gagal mengotakan slogan rakyat didahulukan, sebaliknya terus menganiaya rakyat dengan janji pembangunan.

“Minggu lalu, penduduk lihat sendiri bagaimana Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hanya pantau dari dalam kenderaan semasa meninjau tapak projek.

“Beliau sepatutnya turun bertemu penduduk secara dekat untuk bertanya masalah dan lihat kerosakan yang berlaku di jalan.  Seolah2 beliau takut berhadapan rakyat,” katanya. sumber

No comments:

Post a Comment