السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi
pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di
dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat
yang berkobar2, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut
Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar2
ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu
satu2nya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia
seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.
Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan
seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana
inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat
fitrah juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum,
berkeluarga yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin
bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat
sembahyang. Allah berfirman (maksudnya):
“Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa2 dan bersuku2
kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling
mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)
Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa,
samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak
dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang
tokoh ilmuan sedunia menegaskan :
“Manusia
itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.
Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh
manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan
itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di
kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup
bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun
tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam
kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan
secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.
Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua.
Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu
diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan
bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ
قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص
325)
“Bukan daripada kalangan kami orang yang
menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di
atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas
perjuangan asobiyyah”.
Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana
kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan
bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.
Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam,
sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang
berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain,
sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia
yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.
Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya
menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang
berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak
manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain,
diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia,
binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada
masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan
daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan
tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.
Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah
kedua Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh
paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar
Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para
pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang
masyhur, antara lain menegaskan:
“Kita adalah kaum bangsa yang diberi
kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk
mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa
yang hina”.
Kenyataan ini berasaskan firman Allah:
“Ingatlah,
kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah.
Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia
hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan
kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika
kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan
mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”
(Surah Muhammad: 38)
Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab
yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan
kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah
menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam
yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan
berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara
hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing2
dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing2,
sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain2 dipisahkan
daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa
asing yang menindas mereka dengan hina.
Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya,
tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi
petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar,
kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran
dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan
hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan
Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan
oleh kuasa2 besar yang berebut dan berlumba2 mengambil
kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa
dan satu agama.
Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh
UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu
religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak
mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah
Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana
kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan
pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan
dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan
amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan
akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk
semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut
pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya,
bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan
Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.
Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama
persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua
kaum kerana majoritinya, tiba2 tidak berjaya memuliakan bangsa
Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah
memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja dengan pendekatan Islam
terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat
kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat,
dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan
sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO, bahkan jatuh terhumban
bersamanya.
PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat
menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat
bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak
sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti
yang berada di bawah kerajaannya yang mampu merojak sumber Islam dengan
bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa
al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS
juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.
Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa
slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya.
Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa
petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda
sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya
ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang
sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai
agama diselamatkan.
Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak
kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain
bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti
bahasa ibunda masing2 dan budaya kaum masing2, tetapi
melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam
anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara
hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS